Daurah Hidayatus Salikin

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Haipp, tergendala sekian lama niat untuk menulis entri ini. InsyaAllah akan diusahakan.. Bismillahirrahmanirrahim..

Seminggu sebelum program:

Ada kawan UIA hantar mesej di WhatsApp tentang pengambilan sukarelawan 5 orang muslimin, 5 orang muslimat. Sesiapa berminat, tak perlu bayar seperti peserta. Boleh belajar sambil berkhidmat :)
Maka, dengan teruja diri ini menyatakan keinginan untuk menjadi sukarelawan. Percuma! Siapa tak nak..
Tapi, pada masa yang sama, 7hb tu saya ada majlis walimah sepupu dan wajiblah pergi ok? [Nanti dia merajuk..]  Kebetulan pula, pelajar UIA Gombak sedang 'midsem exam' jadi tak ramai yang boleh tolong.. Akhirnya, 5 orang muslimin, 3 orang muslimat sahaja yang mendaftar.

Pada hari sekian [dah lupa tarikh], mesyuarat besar-besaran diadakan di Bilik Mesyuarat Al-Khawarizi, Jalan Duta. Saya perlu bantu kawan-kawan yang duduk jauh, naik LRT lepas itu naik bas. Ingatkan ada bas terus ke Masjid Wilayah dari Masjid Jamek...rupa-rupanya perlu pergi ke Pasar Seni. Kesian mereka, kena naik teksi dua orang dengan tambang RM8 huhu. Maaf ye.. Sampai sahaja di luar bilik mesyuarat, muslimin dah tunggu. Aishh..masuk jelah dulu. Rasa bersalah pula.


Sewaktu mesyuarat berlangsung, saya sempat berkenalan dengan akak-akak Galeri ilmu yang comel. Dukacita dimaklumkan Prof Dr Afifi Al-Akiti dan Mufti Kedah tidak dapat hadir pada 5hb Jun sebab ada program bersama sultan. Dr Afifi sudah jadi penasihat sultan sekarang. Ada juga program lain ditaja oleh Bank Negara, dah 'bank-in' pun tapi Dr terpaksa menolak tawaran tersebut. Klik sini untuk tahu biodata Prof Dr Afifi. Teringin sangat nak jumpa beliau tapi tak berkesempatan :(
Pengerusi majlis pula ada bakat melawak, jadi dalam senyap tu 'gelak beradap' jelah..

Sehari sebelum program:





Kami dikehendaki untuk menjaga kaunter pendaftaran di luar Dewan Serbaguna. kena cop, tulis resit, sediakan 'goody bags' dll. Peserta Palembang hadir lewat petang, peserta Kedah tiba seawal jam 3 pagi esok. Baru nak tidur sekejap, mereka dah sampai..

Kami menginap di SMAKL, jadi faham-fahamlah ye. Kena angkat bag berat sebab ramai makcik ada sakit tua. Tiada lif, penginapan di tingkat 3 dan 4. Tingkat 1 dan 2 kelas. Muslimin pun bantu sebab pakcik-pakcik selalunya bawa beg ringan je. Mereka tolong tengok je pakcik-pakcik tu.. Ada juga permohonan untuk menginap di SMAIWP tetapi tiada respon dari pihak pentadbir. SMAIWP ada lif, berhawa dingin dan lebih banyak bilik. Jadi, terpaksalah.. Hotel? Alamat caj tambahan dikenakan.. Lagipun, sebagai orang bermastautin di situ, saya sudah faham keadaan hotel berdekatan. Mont Kiara? Banyak mat salleh 'berpesta'. Takkan nak bagi peserta duduk situ kot.. Menginap di masjid? Ada pihak yang sudah ambil.

Nak buat benda baik banyak cabaran. Sabar dan tawakal saja. Itu saja yang kami mampu usahakan pada saat itu.

Selepas selamat menempatkan makcik-makcik di bilik penginapan/dorm, ramai yang minta makanan. Berebut-rebut mereka ambil makanan sebab entah berapa jam kebulur sejak bertolak dari stesen bas. Ada katil bertingkat (double decker), terpaksa diturunkan tilam ke bawah bagi warga emas. Ada yang tak bawa cadar, ada tak bawa selimut, aisehh.. penat oden menjawabnya. Balik rumah je terus saya batuk-batuk sebab ada semacam jangkitan dari mereka. Nasib baik abah ada ubat hehe, cepat-cepat makan.

5hb Jun:
Tiga Panel Pembentang (maaf, lupa nama-nama pembentang yang dapat hadirkan diri lagipun tak masuk dewan pun sebab sibuk jaga kaunter di luar).

Kelebihan Program:
• Masyarakat awam berpeluang mempelajari sebuah kitab warisan ulama Nusantara yang amat berharga hingga khatam dalam masa yang singkat, tanpa perlu mengikuti pengajian secara formal. 
• Masyarakat awam didedahkan kepada kaedah pengajian kitab secara bertalaqqi dan bersanad.
• Para peserta dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian dalam suasana yang kondusif dengan disediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan makan minum sepanjang tempoh pengajian.
• Terjalinnya ukhuwah Islamiah dalam suasana pengajian dan penginapan yang selesa. 
• Peserta dari beberapa negara Nusantara dapat menjalin silaturrahim melalui pengajian kitab yang disampaikan dalam bahasa Melayu. 
• Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dipertahankan melalui pengajian salah satu kitab autentik yang membawa aliran ASWJ.



Jadi, selepas Zohor hingga masuk waktu Asar, peserta bebas dari aturan jadual.

6hb Jun:

Kes hilang buku:
- Makcik Palembang hilang buku.Najihah! ??Nazihah? Rupa-rupanya dia semacam saudara syeikh dari Palembang, Gulp!
- Makcik Kedah..ke Pahang.. hilang buku. Makcik ni buat orang gugur jantung je sebab dia ugut nak balik, kemudian dia kata dalam bag daurah tu ada bacaan amalan harian yang dia wajib baca setiap hari, jadi dia tak semangat kalau hilang.. Jadi dia buat-buat macam nak balik!

p/s: Muslimin kalau nak alihkan barang tu umumkan dulu atau letak satu tempat. Akhirnya beg tu dijumpa diatas kerusi yang berdozen ditindih. huhu.. Memang kelam kabut masa tu.

Waktu kelam-kabut apabila tiba waktu makan. Katerer lambat hantar makanan atau hantar makanan mengikut sesi. Jadi peserta terpaksa beratur panjang dan membebel kepada orang yang jaga kaunter makanan. Best! Ramai peserta terpaksa beli air mineral sebab air tawar lambat dibekalkan, kesian tengok peserta warga emas. Minuman manis tak bagus untuk mereka...

Gambar Syeikh bersama para khatib (pembaca kitab) di atas pentas:


Photo: Kerana Sepasang Kasut

"Jika ditakdirkan, contohnya kasut kita dicuri orang, janganlah sampai marah kita berlebih-lebih. Hingga kita berdoa supaya diturunkan bala besar kepada si pencuri.

"Ditakdirkan Allah, doa kita makbul, lalu si pencuri tadi ditimpa kemalangan dan terpaksa menanggung kerugian hingga mencecah RM5,000, umpamanya kerana membaiki keretanya yang rosak, kakinya patah dan sebagainya. Tidak padan dengan nilaian RM50 harga sepatu kita.

"Nanti di akhirat kelak, di hadapan Allah yang Maha Adil, si pencuri dan kita akan diadili semula oleh Allah SWT. 

"Mungkin si pencuri akan diminta membayar semula nilai kasut kita yang bernilai RM50. Dan kita pula mungkin diperintahkan untuk membayar balik kerugian yang dialami oleh si pencuri sebanyak RM5,000. Kerana si pencuri tadi mengadu kepada Allah SWT. Manakala kesalahan mencuri itu adalah urusan dia dengan Allah.

"Jadi, apabila kita teraniaya, contohnya seperti contoh di atas, langkah yang paling baik adalah mendoakan agar si pencuri tadi diberi hidayah oleh Allah Taala, hingga menyebabkan hidupnya berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi hamba Allah yang soleh."

~ Sedutan slot Pengajian Akbar Hidayatus Salikin di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pimpinan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam pada 5-8 Jun 2014.

~ Untuk membeli kitab Hidayatus Salikin: http://www.galeriilmu.com/belian-online/product/490-hidayatus-salikin

#PengajianAkbarHidayatusSalikin

Photo: Ramai yang bertanya tentang rakaman Pengajian Akbar Hidayatus Salikin. Insya Allah kami sedang usahakan untuk diterbitkan. Nantikan hebahan kami dari semasa ke semasa.


InsyaAllah, pihak Galeri Ilmu akan usahakan rakaman penuh program ini..

7hb Jun:

Qiamullail diadakan di Masjid Wilayah. Ramai makcik yang ikut sebab kawan mereka pun ikut. Dah besar pun perangai macam budak lagi.. Masa tu keadaan kucar-kacir sedikit, lagipun saya balik sekejap untuk menghadiri majlis walimah sepupu. Balik KL je pintu masjid dah kunci. Aisehh.. 

"Ya, udah sihat! udah sihat!" - telatah dua orang makcik Palembang yang baru balik dari Sogo, KL. haha..ketawa melihat telatah mereka. Naik teksi lagi..
Sebelum daurah bukan main lagi mengadu sakit lututlah..apalah, sekali dapat pergi shopping! Hmm..
Makcik-makcik Palembang ni kebanyakan kaya, nak menginap di hotel pun boleh, beli beg mewah, bersolek kemain.. [beberapa dalam kalangan mereka]

8hb Jun: Hari Terakhir Daurah

Semua peserta disusun mengikut bayaran penuh (RM150) dan walk-in (beli kitab je). Hormatlah orang bayar penuh kan? Peserta yang bayar penuh juga disusun lagi ikut kategori, peserta dari Kedah duduk depan sekali sebab mereka balik awal bersama Syeikh nanti, diikuti peserta Palembang, Kalimantan dan seterusnya walk-in. Ada juga makcik yang berdegil nak duduk depan sekali sebab nak balik cepat. Sabar jelah, kalau dengan budak boleh lagi nak nasihat, dengan makcik? Macam nak bagi kita pelempang pun ada..




Photo: Seronok betul peserta Kem Tahfiz Rakan Asuh dapat naik ke pentas dan bernasyid bersama Kumpulan Raihan di Dewan Serbaguna Masjid wilayah.
Peserta Kem Tahfiz Asuh 

Bersurai. SELFIE dari Makcik Palembang (^_^)
Sekarang dah tak ada mood nak bergambar bagai. huhu. Malas? Entahlah..
Siap kata lagi, 'kalau ada jodoh nanti kita bertemu lagi ye, mana tahu dapat jadi saudara kan..'
Huhu, gaya macam nak jodohkah aku dengan pria Palembang je, err..tak apalah..

Photo: TAMU WARNA PAGI | Karnival & Pengajian Akbar Kitab Hidayatul Salikin (Bersama Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam) 5-8 Jun 2014 di Masjid Wilayah Persekutuan.
Untuk pendaftaran dan pertanyaan sila hubungi 03-62721225
Rakaman dari Studio Radio Ikim dari kiri: Tuan Haji Zakariya (Imam Masjid Wilayah), Krew Radio Ikim dan Pn Jal (Galeri Ilmu).



Sesi pengkhataman yang sangat indah.. Sukarelawan buat di Galeri Ilmu, jadi tak perlu menghadapi sesak.

Selesai sudah karnival Galeri Ilmu pertama dan terbesar yang pernah dianjurkan. Memang banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Mohon maaf dipinta. InsyaAllah, Galeri Ilmu nak buat Daurah Kitab Bidayatul Hidayah pula seterusnya..  Seronok dapat berkenalan dengan krew Galeri Ilmu walaupun rasa diri ini tak layak pun, ramai lagi yang lebih layak.

Photo: TERIMA KASIH kepada semua peserta yang telah mendaftar secara rasmi untuk mengikuti Pengajian Akbar Hidayatus Salikin di Masjid Wilayah Persekutuan pada 5-8 Jun ini.

Pendaftaran telah ditutup dengan rasminya pada 30 Mei iaitu dilewatkan 2 hari dari tarikh tutup asal. 

Setiap peserta yang berdaftar akan mendapat senaskhah kitab Hidayatus Salikin, beg, rehal dan makan-minum sepanjang 4 hari berlangsungnya daurah tersebut. 

Manakala peserta luar KL, akan disediakan asrama penginapan di SMAKL (maksima 700 orang sahaja iaitu 400 wanita 300 lelaki).

Sekiranya masih ada di kalangan tuan-puan yang tinggal di KL dan  ingin mengikuti pengajian ini, tuan-puan boleh berbuat demikian dengan membeli kitab Hidayatus Salikin yang turut dijual di booth Galeri Ilmu atau Koperasi Masjid. 

Walau bagaimanapun, pihak urusetia memohon berbanyak maaf, kerana kami tidak dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada tuan-puan seperti yang dinikmati oleh mereka yang mendaftar awal seperti di atas.  

Harap maklum.

#PengajianAkbarHidayatusSalikin

Photo: ‎TUJUH ADAB HARI JUMAAT
(Berikut adalah tujuh daripada 20 adab hari Jumaat yang disenaraikan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Hidayatus Salikin. Adab itu dimulakan pada hari Khamis lagi.)

Adab yang pertama: Hendaklah engkau bersedia baginya mulai hari Khamis dengan menyuci kain dan menyuci baju dan membanyakkan mengucap tasbih dan istighfar pada petang-petang hari Khamis itu kerana waktu yang demikian itu menyamai fadilatnya akan waktu pada hari Jumaat.

Adab yang kedua: Sunat engkau puasa pada hari Jumaat itu, tetapi hendaklah engkau sertakan dengan puasa hari Sabtu atau hari Khamis, kerana makruh puasa pada hari Jumaat itu dengan tiada disertakan dengan hari Sabtu atau hari Khamis.

Adab yang ketiga: Apabila terbit fajar maka sunat engkau mandi kerana waktu mandi Jumaat itu dari terbit fajar hingga mengerjakan sembahyang Jumaat, tetapi pada waktu hampir hendak pergi sembahyang Jumaat itu terlebih afdal. Sabda Nabi SAW:

(غُسْلُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ. متفق عليه (العراقي

Ertinya: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib, yakni sunat muakkadah atas tiap-tiap orang yang akil baligh.” (Muttafaqun ‘alaih)

Adab yang keempat: Sunat menghias dirinya dengan memakai pakaian yang putih, kerana pakaian yang putih itu terlebih kasih kepada Allah Taala. Sabda Nabi SAW:

(إِنَّ الْجَنَّةَ بَيْضَاءُ، وَأَحَبُّ اْلأَشْيَاءِ إِلَى اللهِ الْبَيَاضُ. (لم أجد مخرجه بعد

Ertinya: “Bahawasanya syurga itu terlebih putih. Dan yang terlebih kasih sesuatu kepada Allah Taala itu sesuatu yang putih.”

Adab yang kelima: Sunat memakai bau-bauan yang terlebih harum seperti kasturi dan barang sebagainya, dan makruh memakai zabad kerana ia pakaian perempuan, dan lagi pada mazhab Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullahu Taala bahawa zabad itu najis.

Adab yang keenam: Melebih-lebih pada menyuci badan dengan menghilangkan bau busuk badan dan menghilangkan yang cemar-cemar pada badan, dan mencukur bulu ari-ari dan mengandam misai, dan mengerat kuku, dan bersugi dan mencabut bulu ketiak.

Adab yang ketujuh: Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid yang tempat sembahyang Jumaat itu padahal ia berjalan dengan kelakuan yang tetap dan hadir hati kepada Allah Taala serta masyghul dengan zikir dan membaca al-Quran dan selawat atas Nabi SAW, kerana sabda Nabi SAW:

"مَنْ رَاحَ إِلَى الْجُمُعَةِ فِي السَّاعَةِ اْلأُوْلَى فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبَشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا أَهْدَى دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا أَهْدَى بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ طُوِيَتِ الصُّحُفُ وَرُفِعَتِ اْلأَقْلاَمُ وَاجْتَمَعَتِ الْمَلاَئِكَةُ عِنْدَ الْمِنْبَرِ يَسْتَمِعُوْنَ الذِّكْرَ.” متفق عليه، ولفظة "رفعت الأقلام" عند البيهقي (العراقي)

Ertinya: “Barangsiapa pergi ke masjid kerana sembahyang Jumaat pada saat yang pertama maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor unta. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor lembu. Dan barangsiapa pergi pada saat yang ketiga maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor kambing biri-biri yang bertanduk. Dan barangsiapa pergi pada saat yang keempat maka seolah-olah ia memberi hadiah seekor ayam. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kelima maka seolah-olah memberi hadiah satu telur. Maka apabila keluar imam maka dilipat suratan dan diangkat akan qalam dan berhimpun segala malaikat pada sisi mimbar padahal mendengar mereka itu akan zikir (khutbah).” (Muttafaqun ‘alaih)‎

Untuk membaca pengisian sepanjang program oleh Admin, boleh layari Facebook Hidayatus Salikin dan Galeri Ilmu.

Moga bermanfaat :)

Terima kasih baca, sudi-sudilah komen :) . 

NJihe.am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :) NO SPAM PLEASE!

Instagram